Monday 17 November 2014

Hari-Hari vs Kadang-Kadang


Alhamdulillah, Sabtu lepas (27 Februari 2010) saya masih berkesempatan berbual panjang dengan seorang senior setelah lima tahun berpisah. Perkenalan kami bermula di USM sewaktu saya berada di tahun satu, dan beliau di tahun akhir pengajian.
“Kak Nor, macam mana, seronok bekerja bawah Kerajaan PAS, Kelantan?” Tanya saya.
“Macam biasa. Setiap tempat ada cabaran, ada dugaan. Kalau dalam kampus dulu kita bergerak kerja dengan orang yang berpendidikan, tapi bila dah ada di luar… di lapangan masyarakat, macam-macam jenis orang ada. Masalah yang paling Kak Nor tak suka, bila ada pelajar kampus yang keluar tapi buat cara macam di kampus juga. Tak pandai langsung nak merendahkan diri. Ye memang betul kita hebat. Tapi kalau tak dapat memberi (tarbiyyah) kepada masyarakat… ikut kepala sendiri je, tak guna juga sehebat mana pun kita”. Luahnya.
“Kita kena faham. Kita bukan di kampus lagi. Cara kita berdakwah kena berbeza. Ikut keadaan. Tidak boleh ketepikan orang yang dah lama dalam medan dakwah. Orang baru macam kita pun penting. Orang lama ada pengalaman. Daripada pengalaman tersebut orang baru boleh belajar untuk buat gerak kerja terbaik. Orang lama tahu apa yang harus ada (perkara yang diperlukan masyarakt. Contoh kefahaman dalam Fardu Ain)… jadi untuk laksanakan perkara yang harus ada tu kita serah pada orang baru (untuk buat program)”. Tambahnya lagi.
“Macam mana dengan usrah?” Tanya saya lagi.
“Kak Nor ada banyak usrah. Antaranya usrah dengan Tok Guru (Tuan Guru Nik Aziz). Tok Guru ni, dia suka buat soal selidik”.
“Soal selidik macam mana tu?” Tanya saya kehairanan.
“Dia akan bagi borang soal selidik. Contoh soalan, solat jemaah, qiamullail… Jawapan yang disediakan dua je. Satu, hari-hari. Dua, kadang-kadang”. Terang Kak Nor.
“Haaa… kalau macam tu ‘fail’lah saya. Sebab semua soalan boleh dikatakan majoriti jawapannya ‘kadang-kadang’”. Nampaknya begitulah situasi saya.
“Tulah, TokGuru cakap ‘macam manalah kita ni. Semuanya kadang-kadang’. Banyak lagi soalan lain. Macam soalan berapa banyak buku baca, masa lapang kita buat apa. Berapa banyak kenal orang”.
“Dalam kita bergerak kerja jangan lupa buat makanan rohani kita. sebab tulah yang akan jadikan kita kuat. Kita ni berada di barisan depan kalau kita tak kuat yang berada di barisan belakang… yang just jadi penyokong kita lagilah tak kuat. Takkan kita nak mengharapkan penyokong. Jadi solat witir, baca Quran, selawat, zikir, mathsurat kena hari-hari buat”. Nasihatnya lagi.
Semua nasihat itu perkara yang telah biasa kita dengar. Kita telah pun tahu. Tetapi tahu tersebut payah sekali untuk mencapai tahap amal. Amal pula sangat payah dan sukar untuk mencapai tahap istiqamah. Tetapi mahu atau tidak perlu buat.. perlu laksanakan. Biarlah ‘kadang-kadang’ daripada ‘langsung tidak ada’ dengan harapan ‘kadang-kadang’i tu bertukar menjadi ‘hari-hari’. Insya Allah.